Perjalanan Belia Keuskupan: Youth Camp kepada Pesta Koir
Sejak tertubuhnya badan penyelaras belia, iaitu
Suruhanjaya Belia PAX (SBP) da kemudian Komisi Belia Diosis atau Tim Pelayanan
Belia Diosis (TPBD), Gereja Tempatan di Diosis Kota Kinabalu memang senantiasa
memberikan perhatian kepada perkembangan iman belia dan beliawanis Katolik.
Pada tahun 1976, sejurus selepas SBP ditubuhkan, program
pertama yang dianjurkan ialah ‘Sabah Youth Camp’. Pemimpin-pemimpin belia
Katolik dari setiap paroki di Sabah berkumpul di Kionsom, Inanam untuk
mengadakan program pembentukan. Kejayaan kem tersebut mendorong SBP untuk
mengadakan kem yang kedua di tempat yang sama pada tahun 1977. Tahun yang berikutnya,
kem yang serupa diadakan di Tambunan, seterusnya di Penampang pada tahun 1979.
Kem-kem tersebut telah berjaya membina kepimpinan belia, khususnya dari segi
rohani
.
Pada awal tahun 80-an, apabila kepimpinan SBP bertukar
tangan, AJK yang baru telah memperkenalkan Pesta Koir (PK) yang menggantikan
‘Sabah Youth Camp’ sebagai program utama SBP. PK berunsurkan pertandingan koir
dan disertai oleh kumpulan koir dari setiap zon. Untuk mendapatkan wakil zon,
pertandingan pada peringkat zon telah diadakan. Diosis Kota Kinabalu pada
ketika itu terbahagi kepada 5 zon iaitu: Pantai Timur, Pantai Barat Utara,
Pantai Barat Selatan, dan Pedalaman. Format baru ini telah membuka peluang
kepada para pemimpin belia pada peringkat zon dan paroki untuk melibatkan diri
secara langsung dalam penganjuran program ini.
PK yang pertama telah diadakan pada tahun 1983 bertempat
di Kota Kinabalu yang disertai oleh beberapa kumpulan koir paroki. Bermula dari
tahun itu sehinggalah pada tahun 1987, PK diadakan sebagai acara tahunan yang
juga memperlihatkan peluasan skop penganjurannya kepada pertandingan lukisan
dan syarahan, sekaligus menghasilkan nama baru bagi program ini iaitu Pesta
Belia Keuskupan (PBK). Ruang penyertaan menjadi lebih terbuka dan lebih ramai
jumlah peserta yang boleh menyertainya.
Pesta
Koir kepada Pesta Belia Keuskupan
Tahun 1989 mencatat pertukaran tangan SBP untuk kali yang
keempat dan di sini ahlinya yang baru mulai menyusun konsep pelayanannya.
Walaupun nama PBK dikekalkan, namun program ini hanya menjadi tanggungjawab
utama kepada Biro Sosial dan Rekreasi. Pada ketika itu juga, program ini
diadakan sekali dalam dua tahun.
Pada tahun 1997, SBP telah mempunyai ahli sepenuh masa
dan ditambah dengan penubuhan Pejabat Belia Diosis. Antara beberapa pendekatan
baru yang diperkenalkan adalah penukaran nama SBP kepada Tim Pelayanan Belia
Diosis (TBPD) dan konsep ‘tim’ atau kumpulan dipromosikan.
Oleh itu, apabila PBK yang ke-10 diadakan pada tahun
1998, berlaku perubahan mendadak kepada konsep penganjurannya apabila PBK
diangkat menjadi program utama TPBD dan penyertaannya terbuka kepada semua
lapisan belia Katolik di Sabah. Beberapa sesi baru diselitkan seperti
katekesis, para-liturgi, persembahan tematik, Vigili dan Ekaristi bersama Bapa
Uskup. Melalui PBK ini, TPBD telah berjaya membawa suasana ‘World Youth Day’ ke
peringkat Diosis. Hampir dua ribu belia telah menyertai program yang telah
diadakan di Sandakan ini.
Dua tahun berikutnya, Jubili Agung Tahun 2000 telah
dirayakan. Pada ketika itu, TPBD Kota Kinabalu telah bekerjasama dengan Tim
Pelayanan Belia Keningau untuk menganjurkan Jubili Belia Tahun 2000 (JBT2000)
secara besar-besaran di Kota Kinabalu. Penyertaannya telah mencatat angka
hampir lima ribu belia Katolik dari seluruh Sabah.
PBK ke
JBT2000 ke SYD
Kejayaan JBT2000 telah mendorong kedua-dua Diosis untuk sekali
lagi mengadakan program belia gabungan pada tahun 2004 yang dikenali sebagai
Sabah Youth Day di Keningau, seterusnya SYD-2 di Ranau pada tahun 2008 dan pada
tahun 2012 SYD-3 di Tambunan.
PBK-11 telah disambung semula pada tahun 2010 setelah 12
tahun direhatkan kerana keperluan semasa pada tahun-tahun sebelumnya untuk
menganjurkan JBT2000, SYD dan SYD-2 yang dirasakan lebih memerlukan pada ketika
itu.
Selepas penganjuran PBK-11, Tim Pelayanan Belia Diosis
Agung (TPBDA) telah bersetuju untuk meneruskan penganjuran PBK sekali dalam
empat tahun yang akan diselang-selikan dengan SYD.
Keperluan yang dilihat pada penganjuran PBK-12 lebih
tertumpu kepada perkembangan iman belia Katolik yang begitu pantas berubah
mengikut arus moden yang secara tidak langsung mencabar iman Katolik setiap
belia untuk tetap bertumbuh dan teguh.
dipetik dari buku program PBK-11, dengan sedikit olahan