MOT & LOT PBK12

MOT & LOT PBK12
“Yesuslah JALAN, KEBENARAN & HIDUP” (Yoh 14:6)

Thursday, 6 March 2014

Logo PBK-12

Definisi



  1. Salib melambangkan kasih Kristus dan pusat kehidupan belia;
  2. Bentuk manusia yang berlainan warna melambangkan belia yang mempunyai keunikannya sendiri;
  3. Warna putih berbentuk jalan menuju ke salib melambangkan Yesus adalah jalan yang harus diikuti;
  4. Warna putih yang berbentuk bulat melambangkan Ekaristi yang menjadi sumber kehidupan belia;
  5. Warna hijau melambangkan Yesus sebagai sumber kehidupan;
  6. Warna biru melambangkan air yang mengingatkan belia akan Sakramen Pembaptisan dan panggilan hidup dalam kekudusan;
  7. Warna ungu melambangkan Yesus adalah kebenaran dan mengingatkan para belia untuk sentiasa bertobat dan berbalik kepada Yesus;

Melalui logo tersebut, dapat disimpulkan bahawa Yesus adalah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan untuk belia. Maka apapun yang ditawarkan oleh dunia, para belia tidak akan mudah tergugat kerana kepercayaan mereka terhadap Yesus Kristus.

Wednesday, 5 February 2014

Pengenalan PBK-12

Perjalanan Belia Keuskupan: Youth Camp kepada Pesta Koir

Sejak tertubuhnya badan penyelaras belia, iaitu Suruhanjaya Belia PAX (SBP) da kemudian Komisi Belia Diosis atau Tim Pelayanan Belia Diosis (TPBD), Gereja Tempatan di Diosis Kota Kinabalu memang senantiasa memberikan perhatian kepada perkembangan iman belia dan beliawanis Katolik.

Pada tahun 1976, sejurus selepas SBP ditubuhkan, program pertama yang dianjurkan ialah ‘Sabah Youth Camp’. Pemimpin-pemimpin belia Katolik dari setiap paroki di Sabah berkumpul di Kionsom, Inanam untuk mengadakan program pembentukan. Kejayaan kem tersebut mendorong SBP untuk mengadakan kem yang kedua di tempat yang sama pada tahun 1977. Tahun yang berikutnya, kem yang serupa diadakan di Tambunan, seterusnya di Penampang pada tahun 1979. Kem-kem tersebut telah berjaya membina kepimpinan belia, khususnya dari segi rohani
.
Pada awal tahun 80-an, apabila kepimpinan SBP bertukar tangan, AJK yang baru telah memperkenalkan Pesta Koir (PK) yang menggantikan ‘Sabah Youth Camp’ sebagai program utama SBP. PK berunsurkan pertandingan koir dan disertai oleh kumpulan koir dari setiap zon. Untuk mendapatkan wakil zon, pertandingan pada peringkat zon telah diadakan. Diosis Kota Kinabalu pada ketika itu terbahagi kepada 5 zon iaitu: Pantai Timur, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, dan Pedalaman. Format baru ini telah membuka peluang kepada para pemimpin belia pada peringkat zon dan paroki untuk melibatkan diri secara langsung dalam penganjuran program ini.

PK yang pertama telah diadakan pada tahun 1983 bertempat di Kota Kinabalu yang disertai oleh beberapa kumpulan koir paroki. Bermula dari tahun itu sehinggalah pada tahun 1987, PK diadakan sebagai acara tahunan yang juga memperlihatkan peluasan skop penganjurannya kepada pertandingan lukisan dan syarahan, sekaligus menghasilkan nama baru bagi program ini iaitu Pesta Belia Keuskupan (PBK). Ruang penyertaan menjadi lebih terbuka dan lebih ramai jumlah peserta yang boleh menyertainya.

Pesta Koir kepada Pesta Belia Keuskupan

Tahun 1989 mencatat pertukaran tangan SBP untuk kali yang keempat dan di sini ahlinya yang baru mulai menyusun konsep pelayanannya. Walaupun nama PBK dikekalkan, namun program ini hanya menjadi tanggungjawab utama kepada Biro Sosial dan Rekreasi. Pada ketika itu juga, program ini diadakan sekali dalam dua tahun.

Pada tahun 1997, SBP telah mempunyai ahli sepenuh masa dan ditambah dengan penubuhan Pejabat Belia Diosis. Antara beberapa pendekatan baru yang diperkenalkan adalah penukaran nama SBP kepada Tim Pelayanan Belia Diosis (TBPD) dan konsep ‘tim’ atau kumpulan dipromosikan.

Oleh itu, apabila PBK yang ke-10 diadakan pada tahun 1998, berlaku perubahan mendadak kepada konsep penganjurannya apabila PBK diangkat menjadi program utama TPBD dan penyertaannya terbuka kepada semua lapisan belia Katolik di Sabah. Beberapa sesi baru diselitkan seperti katekesis, para-liturgi, persembahan tematik, Vigili dan Ekaristi bersama Bapa Uskup. Melalui PBK ini, TPBD telah berjaya membawa suasana ‘World Youth Day’ ke peringkat Diosis. Hampir dua ribu belia telah menyertai program yang telah diadakan di Sandakan ini.

Dua tahun berikutnya, Jubili Agung Tahun 2000 telah dirayakan. Pada ketika itu, TPBD Kota Kinabalu telah bekerjasama dengan Tim Pelayanan Belia Keningau untuk menganjurkan Jubili Belia Tahun 2000 (JBT2000) secara besar-besaran di Kota Kinabalu. Penyertaannya telah mencatat angka hampir lima ribu belia Katolik dari seluruh Sabah.

PBK ke JBT2000 ke SYD

Kejayaan JBT2000 telah mendorong kedua-dua Diosis untuk sekali lagi mengadakan program belia gabungan pada tahun 2004 yang dikenali sebagai Sabah Youth Day di Keningau, seterusnya SYD-2 di Ranau pada tahun 2008 dan pada tahun 2012 SYD-3 di Tambunan.

PBK-11 telah disambung semula pada tahun 2010 setelah 12 tahun direhatkan kerana keperluan semasa pada tahun-tahun sebelumnya untuk menganjurkan JBT2000, SYD dan SYD-2 yang dirasakan lebih memerlukan pada ketika itu.
Selepas penganjuran PBK-11, Tim Pelayanan Belia Diosis Agung (TPBDA) telah bersetuju untuk meneruskan penganjuran PBK sekali dalam empat tahun yang akan diselang-selikan dengan SYD.


Keperluan yang dilihat pada penganjuran PBK-12 lebih tertumpu kepada perkembangan iman belia Katolik yang begitu pantas berubah mengikut arus moden yang secara tidak langsung mencabar iman Katolik setiap belia untuk tetap bertumbuh dan teguh.

dipetik dari buku program PBK-11, dengan sedikit olahan